Isnin, 21 November 2011

INGAT KAWAN2 INI PERANAN KITA





Masa kini tidak menunggu lagi,
Masa yang lalu menjadi saksi,
Sehari yang datang,
Diri pasti mengerti.
Jika semalam ditangisi,
Kerana salah kelekaan sendiri,
Hari ini usah ulangi lagi,
Pantas mulakan cita-cita murni.
Agar hidup berbudi berbakti duniawi menuju ukhrawi...
Ke hari yang bakal ditinggalkan,
Esok masa baru membawa generasi pengganti,
Sajak Nukilan Salah Seorang Penulis Majalah Haluan..Ummu Anas
Pelajar-pelajar Muslim mesti mengubah sikap mereka supaya lebih mementingkan Akhirat supaya dunia ini digunakan untuk Akhirat. Mereka mesti merasai keagungan Islam, Islam adalah agama yang Haq dan hanya Islam sahaja yang diterima di sisi Allah dan dengan memeluk Islam seseorang itu menjadi sebaik-baik ummat di dunia ini serta menjadi guru kepada manusia tentang agama ini.

1. Niat dan Tujuan Belajar

Niat dan tujuan belajar dalam Islam ialah untuk memberikan sumbangan terhadap Islam, umat Islam dan mengisi ruang-ruang pengkhususan yang diperlukan oleh jemaah Islam.
Islam menggalakkan kita menuntut ilmu dan melaksanakan kewajipan menjadi Khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan kuasa-kuasa yang Allah sediakan di dalamnya.
Niat ini akan menjadikan belajar sebagai ibadah dan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan akan mendapat pahala atas segala usaha, masa dan harta yang digunakan.

Pelajar-pelajar perlu sedar bahawa banyak ilmu-ilmu yang wujud hari ini dipelopori oleh ilmuan Islam terdahulu, justeru itu pelajar-pelajar bertanggung jawab dengan berusaha bersungguh supaya Islam kembali mengeluarkan pakar-pakar di dalam pelbagai bidang disiplin ilmu pengetahuan.

2. Tasauwwur Terhadap Pelajaran

Pelajar-pelajar muslim mesti membetulkan pandangannya terhadap pelajaran, bermula dari penguasaan ilmu bagi menghadapi peperiksaan akhir, pelajar-pelajar mesti membina peribadi yang berakhlak mulia serta mampu memberi khidmat kepada kehidupan manusia dengan menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan kehidupan.

Pendidikan akhlak mestilah diberi keutamaan dalam pendidikan Islam melebihi dari ilmu
pengetahuan yang lain. Menuntut ilmu dalam Islam mempunyai adab-adab yang telah ditentukan dan perlu dihayati semasa pendidikan. Justeru itu kita berkewajipan mempelajari adab-adab tersebut dan membiasakan diri dengannya.


3. Pengurusan Diri

Pengurusan diri hendaklah dibuat dengan rapi dan teratur sama ada di rumah atau kolej/universiti. Tempat tidur dan tempat belajar sentiasa dalam keadaan kemas dan tersusun rapi selepas digunakan. Pakaian, buku-buku dan nota-nota kuliah sentiasa teratur supaya mudah untuk dicari apabila diperlukan.

a. Kebersihan Diri

Pelajar muslim mestilah sentiasa membersihkan diri sama ada dari segi zahir mahupun batin. Kebersihan batin yang dimaksudkan ialah kebersihan hati, ia mesti diberikan keutamaan. Ia mesti dibersihkan dari sifat-sifat terkeji seperti riak, ujub, takabbur, dendam, hasad,dengki dan lain-lain sifat yang dimurkai oleh Allah.

Pelajar muslim contoh bertanggungjawab untuk memenuhkan hatinya dengan sifat-sifat yang terpuji seperti taqwa, ikhlas, tawadhu’, belas kasihan dan lain-lain sifat terpuji. Seterusnya pelajar muslim mesti menjaga kebersihan fizikal tubuh badannya dan persekitarannya seperti tempat tidur dan meja tulisnya.

b. Pengurusan Masa

Pengurusan dan pembahagian masa hendaklah dibuat dengan baik. Agihan masa belajar,
ulangkaji, rehat, riadah, ibadah dan aktiviti-aktiviti lain dibuat dengan dengan cermat dan menasabah serta berdisiplin dalam mematuhi kepada agihan yang telah dibuat. Elakkan diri dari meninggalkan atau membuang masa terhadap perkara-perkara yang tidak bermenafaat bagi seorang pelajar.

Strategi dan teknik belajar yang berkesan hendaklah dilakukan dari awal semester lagi. Belajar pada saat akhir hendaklah dielakkan oleh seorang pelajar muslim contoh. Pelajar muslim mengulangkaji secara konsisten dan sederhana sepanjang semester pengajiannya.

c. Memilih Kawan (Sahabat) Rapat

Pelajar Muslim hendaklah pandai memilih kawan (sahabat) karib dari kalangan kawankawannya. Kawan-kawan hendaklah kawan-kawan yang soleh dan mengelakkan diri dari
berkawan pemuda-pemuda yang jahat. Perhubungan dengan kawan-kawan hendaklah
sederhana dan dapat dikawal supaya tidak mengambil (mencuri) masa mengulangkaji
pelajaran.

d. Bijak Memilih Bacaan Ringan

Bijak memilih bahan bacaan ringan bagi tujuan merehatkan minda. Bahan bacaan yang pilih mestilah berfaedah dan dapat menyihatkan akal dan jiwa serta bersih dari noda dan dosa.


5. Memberi Tumpuan Penuh Kepada Pelajaran dan Studi

Perhatian dan tumpuan kepada pelajaran mestilah diberikan sepenuhnya kerana pada tahap sekarang merupakan tahapumur yang paling ideal (sempurna) untuk belajar dan membentuk peribadi. Masa ini hendaklah dihabiskan sebaik-baiknya untuk pelajaran kerana selepas tempoh ini kewajipan-kewajipan lain seperti berkhidmat kepada nusa, bangsa dan agama sedang menanti.

a. Hadir Kuliah

Pelajar muslim contoh mesti sentiasa hadir kuliah kecuali ada keuzuran yang sangat kuat supaya ilmu dan pelajaran dapat diterima terus dari guru-guru. Semasa menghadiri kuliah, pelajar muslim mestilah memberikan tumpuan kepada guru untuk membantunya menguasai ilmu yang dipelajari. Untuk membantu pelajar memberi tumpuan kepada kuliah, pelajar mestilah membuat persediaan terlebih dahulu sebelum hadir kuliah.

b. Persediaan Sebelum Kuliah

Semasa atau selepas kuliah pelajar muslim contoh perlulah mendapatkan penjelasan dari guru supaya dapat membantunya memahami ilmu dan pelajarannya. Kebanyakan ilmu mempunyai hubungan antara satu dengan lain, justeru itu sesuatu bab yang baru akan sukar untuk difahami sekiranya bab yang terdahulu tidak difahami. Jika penjelasan tidak dapat diperolehi semasa kuliah, maka ia perlu didapatkan selepas waktu kuliah dari guru mahupun dari rakan-rakan.

c. Rumusan Selepas Kuliah

Untuk membantu pelajar muslim menguasai seluruh subjek pengajiannya, maka di akhir setiap sesi kuliah ia mestilah membuat ringkasan bagi setiap bab dan isi-isi pokok dan cabang-cabangnya dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami, sebaik-baiknya
menggunakan perkataan sendiri tanpa mengubah maksud dan pengertian asal fakta atau hujah.

Setiap bab tadi digabungkan dalam bentuk sebuah gambarajah besar (peta minda - menukarkan perkataan menjadi gambarajah pokok berserta cabang dan ranting) supaya mudah untuk diingati - gambarajah ini perlu diingati dengan sebaik mungkin.

d. Strategi dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Pelajar muslim contoh mestilah berusaha menguasai pelajarannya dan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mengatasi pelajar lain kerana ia merupakan satu tuntutan dan kewajipan dalam Islam dimana kejayaan ini dapat mengembirakan kedua ibu bapa. Ia juga merupakan satu tanggungjawab pelajar Muslim untuk menutup pintu fitnah terhadap Islam, di mana ketaatan dan kepatuhan terhadap Islam (terutamanya bagi aktivis Islam) membuktikan bahawa penglibatan dalam gerakan Islam mendorong nya untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dari pelajar lain. Usaha ini akan menjadi dakwah 'bil-hal' kepada pelajar-pelajar lain, manakala keputusan yang buruk dalam peperiksaan akan menyebabkan ibu bapa melarang pelajar dari melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah.

e. Mengenalpasti Bakat dan Minat Terpendam

Ia juga mesti mencungkil bakatnya di dalam bidang yang boleh memberi menafaat dan memperingatkan sahabat-sahabatnya supaya berusaha memupuk bakat itu untuk digunakan bagi kerja-kerja Islam. Ia juga hendaklah meminta nasihat ketika hendak memilih dan membuat keputusan dalam pemilihan bidang pengkhususan bagi faedah 'amal Islami.


6. Menjaga Hubungan dengan Allah

a. Sentiasa ZikruLlah dan Berdoa

Pelajar Muslim hendaklah sentiasa dalam keadaan zikruLlah dan memohon perlindungan dari godaan syaitan. Segala amalan, belajar, menjawab dalam peperiksaan hendaklah dimulakan dengan nama Allah (BasmaLlah) dan do'a memohon pertolongan dari Allah. Ia kemudiannya mestilah menunaikan kewajipan terhadap ilmu pelajaran dan mengulangkaji dan mengulangkaji, kemudian bertawakkal kepada Allah dan kemudian semasa menduduki peperiksaan mulakan peperiksaan dengan hati yang tandus. Apabila keputusan diumumkan, sekiranya keputusannya baik atau cemerlang maka terimanya dengan mengucap BasmaLlah dan mengucapkan tahmid sebagai ucapan bersyukur kepada Allah dan kembalikan kepadaNya atas segala pertolongan dan taufiqNya. Jika keputusan adalah sebaliknya, maka usahlah merasa sempit dada, kecewa dan berdukacita. Sesungguhnya ia adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki, ia boleh diperbaiki dan diubah dengan berusaha lagi dengan memperbaiki kelemahan dan kesilapan disampig mempertingkatkan keazaman dan ketenangan.

b. Sentiasa Berpegang Teguh Dengan Adat Dan Syariat Islam

Pelajar perempuan Muslim juga mesti menjaga dan memelihara adab-adab serta sifat sifat kewanitaannya seperti berpakaian dengan pakaian Islam yang sempurna dari segi bentuknya dan menjauhi apa yang dilarang dari berbagai jenis perhiasan yang dilarang.

Menjaga diri dari tempat yang menimbulkan keraguan dan pergaulan bebas, mengangkat suara tinggi, ketawa dengan kuat (berdekah-dekah atau mengilai) dan lain-lain sifat yang tidak layak bagi pelajar Muslim.

Pelajar perempuan Muslim juga mestilah berpegang dengan adab pemalu, bijak dalam memilih kawan perempuan serta mendalami masalah agama terutama yang berhubung dengan perempuan. Ia hendaklah melaksanakan peranaannya sebagai pendakwah terhadap kawankawannya.

Rujukan:
Mustafa Masyhur, Suri Teladan Di Sepanjang Jalan Dakwah (Al Qudwah 'Ala Tariq Al
Da'wah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan