Jumaat, 25 November 2011

Rusuhan Mesir kembali bergolak menuntut pilihanraya di Dataran Tahrir!


Bagi kawan-kawan yang belum tahu lagi mengenai situasi sebenar pergolakan Mesir yang kembali merusuh 3 hari yang lepas. mungkin agak terlambat untuk dikongsikan bersama. Mungkin sebagai informasi bersama, saya kongsikan sedikit tentang apa yang sedang berlaku di Mesir bagi menuntut pemerintahan tentera ditamatkan dengan segera selepas berkuasa ekoran peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden pada Februari lalu.
Demonstrasi di Kaherah dan lain-lain wilayah di Mesir masih diteruskan walaupun Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) telah berikrar untuk membentuk kerajaan sementara yang digelar ‘Kerajaan Penyelamat’ dan menjalankan peralihan kuasa menjelang pertengahan tahun depan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang terlibat dalam “Himpunan Sejuta Rakyat Untuk Selamatkan Negara” memutuskan untuk terus berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah dan bandar-bandar lain seperti Alexandria.
Konfrontasi berterusan sehingga ke malam, dengan polis menggunakan cotar, gas pemedih mata, peluru getah serta melepaskan tembakan amaran terhadap penunjuk perasaan di jalan raya menuju ke Kementerian Dalam Negeri yang berhampiran.
Perhimpunan kelmarin diadakan selepas pertempuran maut selama berhari-hari antara polis dan penunjuk perasaan yang menuntut perubahan demokratik.
Bilangan penunjuk perasaan yang mencecah ratusan ribu dalam perhimpunan kali ini telah menjadikan perhimpunan ini sebagai perhimpunan kedua terbesar selepas Revolusi 25 Januari. Perhimpunan kali ini adalah untuk menuntut pihak tentera mempercepatkan proses peralihan kuasa, dan membantah tindakan polis yang zalim dan ganas ketika menyuraikan orang ramai dari Medan Tahrir sehingga menyebabkan puluhan orang terbunuh dan lebih 1300 orang tercedera setakat ini.
Menurut agensi berita Mena, seramai 32 orang telah mati sejak tunjuk perasaan itu bermula pada Sabtu lalu. – AFP
SEJUMLAH penunjuk perasaan antipemerintahan tentera berlari ketika bertempur dengan anggota-anggota polis di Kaherah semalam. -Kosmo
Berikutan isi semasa politik tanah air Mesir yang berlaku, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Islam di Mesir agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang tidak benar mengenai keadaan semasa.
Ia berikutan apabila terdapat provokasi di salah satu media di Malaysia yang menggambarkan keadaan yang kritikal sehingga menyebabkan para ibu dan bapa panik mengenai keselamatan anak-anak mereka di Mesir.
PMRAM menegaskan bahawa keadaan keselamatan bagi mahasiswa/wi Islam di sini adalah masih terkawal bahkan pengajian di universiti masih berjalan seperti biasa.
Presiden PMRAM, Saudara Muhamas Zuhaili Saiman juga telah memaklumkan isu keselamatan semasa kepada pemberita Harian Merto yang telah menelefon beliau seawal jam 5 pagi waktu Mesir, semalam.
Selain itu, Presiden PMRAM juga telah dihubungi oleh pemberita Kosmo pada jam 11 pagi waktu Mesir dalam mendapatkan penjelasan yang sebenar mengenai kondisi keadaan mahasiswa dan mahasiswi Islam Malaysia di Mesir.
“PMRAM menegaskan agar pihak media Malaysia supaya mendapatkan informasi semasa mengenai isu di Mesir melalui saluran rasmi yang ada agar
tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan keadaan panik di kalangan ibu bapa,” ujar beliau.
“PMRAM sentiasa memantau keadaan semasa yang berlaku dan PMRAM sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam mendapatkan informasisemasa,” jelas beliau lagi.
Makluman Lanjut layari PMRAM
Inilah realiti dunia politik sekarang apa-apa pun kita doakan moga yang terbaik dan keadaan kembali pulih seperti sediakala secepat mungkin.
Jangan cepat melatah mungkin propaganda-propaganda dan campurtangan pihak ketiga dan keempat. Sama-samalah kita doakan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan