Khamis, 17 November 2011

ADAB MENANGANI PERBEZAAN PENDAPAT


INI ADALAH TULISAN DARIPADA SEORANG ALUMNI APIUM NILAM PURI,
JAZAKALLHU KHAIRAN JAZA'.....


Masturah Abu Bakar

24 Muharram 1410H/26 Ogos 1989

Sg.Buloh,Selangor.


Pendidikan :
2007-2009 : Asasi Pengajian Islam, APIUM, Nilam Puri

2009-2012 : Bachelor of Syariah
(Islamic Political Science),
Academy of Islamic Studies, University of Malaya.

Khidmat Khalifah :

Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (Unofficial, Timbalan Setiausaha Agung II)


Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Pengerusi Sisters in Movement (SIM)



"Sedih mengenangkan pejuang generasi ini. Saling bermusuh, bertengkar dan bercakaran sesama sendiri. Pendapat yang tidak sehaluan menjadi tonggak pertelingkahan. Menghukum dan menuduh dengan bahasa yang agak kasar dan menyakitkan. Dahulunya mereka baik-baik saja, entah apa masalah timbul yang menyebabkan tercetusnya pertelingkahan.
Mereka sama-sama berjanji dan mengikat taat setia di bawah suatu harakah yang bermatlamat Islam. Namun di bawah satu payungan itu, wujud beberapa firqah akibat tiada kesatuan fikrah. Kumpulan ini dan itu.
Kumpulan ini tegar mempertahankan pendapat mereka. Menganggap mereka sahaja yang betul hingga tercetus perkara di luar kemahuan harakah. Mencaci, menghina dan menuduh orang sesuka hati.
Kumpulan yang itu tidak kurang juga, tetap dengan pendirian pihak mereka. Walau apapun terjadi mereka tetap menentang. Kadang mereka berkumpul sesama sendiri dan mula bercerita tentang itu dan ini. Hingga timbulnya ghibah yang dilarang Rasulullah s.a.w.
Kedua-duanya tidak pernah mengalah.
MasyaAllah. Bukankah mereka sedang sama-sama berjuang? Sama-sama ingin melihat kemenangan Islam di muka bumi. Tidak sedarkah mereka bahawa masalah tiada wehdatul fikr antara umat Islam antara sebab utama penyumbang kepada kemunduran umat Islam? Bagai bangunan yang dahulunya tiada lubang yang tidak langsung memberi peluang kepada musuh untuk mengintai, kini sudah bangunan itu sudah ditebuk sendiri dari dalam oleh penghuni bangunan tersebut hingga memberi peluang mudah kepada musuh untuk menyerang.
Ya. Pabila ditanya 1 soalan kepada 10 orang yang mempunyai 10 otak, semestinya terdapat 10 pendapat yang tidak sama. Ini tidak dapat disangkal kerana fitrahnya tahap pemikiran setiap individu adalah berlainan. Tetapi Islam itu sangat indah. Ia tidak membenarkan sama sekali umatnya berpecah-belah.
Suatu peristiwa,perang khaibar..
“Janganlah kamu mendirikan solat Asar kecuali di perkampungan Bani Quraizah..”.
Itu pesanan Nabi s.a.w ketika memerintahkan para sahabat supaya menuju ke khaibar untuk memerangi kaum Yahudi Bani Quraizah yang telah mengingkari Perjanjian Madinah dan bersekongkol dengan kaum musyrikin quraisy pimpinan Abu Sufian.
Lantas di tengah-tengah perjalanan, waktu Asar telah masuk. Para sahabat teragak-agak antara 2 tanggungjawab itu. Solat Asar perlu dilakukan sebelum luput waktunya. Namun, arahan Rasulullah itu perlu dipatuhi. Tanggungjawab menepati arahan perlu dilaksanakan.setiap sabda Rasulullah itu menjadi hak baginda sendiri yang menuntut kaum muslimin menepatinya.
Terus para sahabat berselisih pendapat. Ada yang menyatakan perjalanan perlu diteruskan, ada yang berpendapat bahawa kewajipan asar perlu dilunaskan.
Situasi ini menjadikan para sahabat terpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama menunaikan solat Asar semasa perjalanan, sebelum terbenam matahari. Solat mesti dilakukan pada waktunya bertepatan dengan dalil surah An-Nisa ayat 103.
Namun Rasulullah tenang ketika kedua pihak mengajukan permasalahan dan pendapat masing-masing kepada baginda. Ini menunjukkan perbezaan pendapat tidak ditegah oleh Rasulullah.
Umat Islam generasi ini seharusnya mencontohi bagaimana para sahabat menyelesaikan perbezaan pendapat. Permasalah ini dapat diselesaikan jika para pejuang harakah memahami adab berselih pendapat yang diajar Rasulullah.
Berkata Abu Musa r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seorang mukmin
terhadap mukmin yang lain itu adalah sebagai bangunan yang sebahagiannya mengukuhkan
kepada bahagian yang lainnya," Dan beliau s.a.w. menjalinkan antara jari-jarinya." (Muttafaq
'alaih)

Dalam menghuraikan hadis di atas, Imam al-Qurthubi berkata : "Apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu adalah sebagai suatu perumpamaan tegas yang menganjurkan seorang mukmin itu selalu memberikan pertolongan kepada sesama mukmin, walau pertolongan apapun sifatnya (asal bukan yang ditujukan untuk sesuatu kemungkaran), Ini adalah suatu perintah yang mesti dilaksanakan. Perumpamaan yang dimaksudkan itu adalah suatu bangunan tidak mungkin akan sempurna dan tidak akan dapat dimanfaatkan atau digunakan, melainkan sebahagian dari bangunan itu saling mengukuhkan dan mengeratkan dengan yang bahagian yang lain. Jika tidak, maka bangunan itu pasti runtuh dan musnahlah segala yang diusahakan dengan susah payah untuk mendirikannya.
Justeru, hendaklah kaum muslimin mengaplikasikan perumpaan tersebut walau sesama mukmin. Juga penting untuk sesebuah kumpulan kepada sebuah kumpulan yang lain dan sebuah bangsa kepada bangsa yang lain.
Manusia masing-masing tidak dapat berdiri sendiri baik dalam urusan dunia atau agama, melainkan dengan saling tolong-menolong, bantu-membantu serta saling menguatkan. Jika hal-hal tersebut tidak dilaksanakan dengan baik, maka jangan diharapkan munculnya keunggulan dan kemenangan. Bahkan sebaliknya yang akan terjadi, iaitu ia akan menjadi kelemahan umat Islam, mereka tidak akan mencapai kemaslahatan yang sempurna, tidak berdaya melawan musuh-musuhnya atau menolak bahaya yang menimpa kaum Muslimin secara keseluruhannya.
Maka, apabila saya mengkaji tentang permasalahan ini, saya mendapati umat Islam keseluruhannya dan pejuang amal Islami khususnya perlu mempelajari bagaimana cara yang terbaik untuk menyelesaikan perbezaan pendapat. Adab-adab penting ketika berbeza pendapat :
1.  Jauhi menghina sesama muslim
"Hai sekalian orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu menghina kaum yang lain, kerana mungkin kaum yang dihina itu lebih balk daripada yang menghina. Jangan pula golongan wanita yang itu menghina golongan wanita yang lain, kerana mungkin golongan yang dihina itu lebih baik daripada golongan yang menghina. Janganlah pula kamu semua mencela sesamamu dan janganlah memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Jahat sekali nama yang buruk itu sesudah adanya keimanan. Barangsiapa yang tidak suka bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang menganiaya." (al-Hujurat: 11)
2.  Jauhi mengumpat
"Janganlah sebhaagian di antara kamu itu mengumpat sebhaagian yang lain. Sukakah seseorang di antara kamu memakan daging saudaranya dalam keadaaan ia sudah mati, maka tentu kamu akan membenci. Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalab Maha Menerima taubat lagi Penyayang." (al-Hujurat: 12)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau semua mengetahui, apakah mengumpat itu?" Para sahabat menjawab: "Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau s.a.w. bersabda: "Iaitu engkau menyebut sesuatu yang ada dalam diri saudaramu dengan apa-apa yang dia tidak disukai." Baginda s.a.w. ditanya: "Bagaimana pendapat Tuan, jikalau dalam diri saudara saya itu memang benar-benar ada apa yang dikatakan itu?" Baginda s.a.w. menjawab: "Jikalau benar-benar ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka sungguh-sungguh engkau telah mengumpatnya dan jikalau tidak ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka sungguh-sungguh engkau telah membuat-buat kedustaan pada dirinya." (Riwayat Muslim)
Namun terdapat garis panduan tentang perkara mengumpat yang dibolehkan. Imam Nawawi dalam kitabnya Raiyadhussolihin menyebutkan terdapat 6 situasi mengumpat yang dibolehkan. Sila rujuk bab 256.
3.  Larangan menyakiti
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang-orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata." (al-Ahzab: 58)
Dari Abu Zar r.a., bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seorang Muslim itu ialah ketika kaum muslimin yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya yakni selamat dari kekejaman perkataan serta perbuatannya. Seorang muhajir - yang meninggalkan - ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Muttafaq 'alaih)
4.  Tidak saling berbidas hingga timbulnya rasa benci dan memutuskan ukhuwah
Dari Anas r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan - ikatan persahabatan atau kekeluargaan - dan jadilah engkau semua hai hamba-hamba Allah sebagai saudara-saudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan - yakni tidak menyapa - saudaranya lebih dari tiga hari." (Muttafaq 'alaih)
Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pintu-pintu syurga itu dibuka pada Isnin dan Khamis, lalu diampunlah bagi setiap hamba yang tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah, melainkan seseorang yang antara dirinya dengan saudara itu ada rasa kebencian -dalam hati, lalu dikatakanlah- yakni Allah berfirman kepada malaikatnya: "Nantikanlah dulu kedua orang ini, sehingga keduanya berdamai kembali. Nantikanlah kedua orang ini, sehingga keduanya berdamai kembali." (Riwayat Muslim)
5.  Larangan sikap suka menggelar dan mengkafir individu muslim yang lain
"Tidaklah seseorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang orang yang dikatakan itu tidak memiliki sifat tersebut." (Riwayat Bukhari)
"Barangsiapa yang memanggil orang lain dengan sebutan kekafiran atau berkata bahwa orang itu musuh Allah, padahal yang dikatakan sedemikian itu sebenarnya tidak, melainkan kekafiran itu kembalilah pada dirinya sendiri." (Muttafaq 'alaih)
6.  Jauhi berburuk sangka
"Hai sekalian orang-orang yang beriman, jauhilah sebagian banyak dari prasangka itur sebab sesungguhnya sebagian dan prasangka itu adalah dosa." (a!-Hujurat: 12)

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Takutlah olehmu semua akan prasangka, sebab sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dustanya pembicaraan." (Muttafaq 'alaih)

7.  Jauhi sikap saling bermusuhan
Dari Abu Ayyub r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada halallah bagi seseorang Muslim kalau meninggalkan -yakni tidak menyapa - saudaranya lebih dari tiga malam - yakni keduanya saling bertemu lalu yang seorang berpaling ke sini dan yang seorang lagi berpaling ke sana. Yang terbaik di antara kedua orang itu ialah orang yang memulai mengucapkan salam." (Muttafaq 'alaih)
Akhirnya saya menyeru, sesungguhnya kelemahan yang satu ini adalah sebab mengapa umat Islam tidak lagi digeruni. Bangkitlah wahai kaumku, mari bersama kita berlari berpimpinan merealisasikan matlamat kita. Berjuang ; hidup mulia atau mati syahid"...




Rujukan :
1. Al-Quran ; Allah s.w.t
2. Kitab Riyadhussolihin ; Imam Nawawi
3. Artikel Adab Berbicara ; www.dakwah.info
4. Buku kisah hidup Nabi Muhammad serta peperangan di zamannya ; Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

1 ulasan: