AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,UNIVERSITI MALAYA NILAM PURI. ASASI PENDIDIKAN ISLAM,ASASI SYARIAH,ASASI USULUDDIN.
Selasa, 20 Disember 2011
AMALAN PENDINDING DARIPADA SIHIR
Cara Amalan Ialah Niatkan Ayat Yang Kita Baca Dan Sedekahkan Kepada Badan Kita.Jadikan Ia Sebagai Pendinding Dan Pantulan. Mudah-Mudahan Sihir Yang Dihantar Kepada Kita Terpantul Balik Kepada Si Penghantar....
Khamis, 8 Disember 2011
Wahai Pemuda!!!
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya
boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan
ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai
semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada
kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak
menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan
tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas
keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih
dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala
asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda,
sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan
sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan
angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu
fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ
هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah
pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk
kepada mereka.(Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka kamu,
angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang
semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari
sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi
bertambahberat.
Oleh itu sepatutnya kamu berfikir
panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke
hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Ada pemuda yang lahir serta
membesar di tengah-tengah umat yang
keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran
hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya
sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya
dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula pemuda yang
lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak
kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa
berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta
kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada
ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya
menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari
faedah dirinya sendiri.
Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda
tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai
ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah
sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita
melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran
dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah
hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya
kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan
bertindak.
Wahai angkatan pemuda!
Sudut yang paling merbahaya sekali
dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam
peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan
pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara
yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang
berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta
mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala
matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian
terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya
merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang
yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah saya berasa
berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat
dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.
Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah
Wahai angkatan pemuda !
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa
sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya
sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang
memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat
sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang
benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar
mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan
tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah
jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang
seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya,
demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan
segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah
semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan
tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di
dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan
menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19):
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا
إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ
لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ
الْإِسْلَامُ
Allah menjadi saksi,
dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia,
Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha
Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah
Islam.
Suatu lagi firman
Allah (Al-Ma’idah:3):
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ
دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ
دِينًا
Hari ini Aku
sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu,
dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah
perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya.
Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita
mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana
meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak
sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali
redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak
akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman
(Al-Imran : 85):
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ
الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ
Dan barangsiapa
mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di
terima.
Islam serta
penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa
dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada
ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba
untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya,
membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di
samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan
dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan
menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya
dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik
bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran
pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di
kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam
genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama
lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada
orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka
itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok
atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut
teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita
mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka
demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya.
Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Pegangan kita dalam
semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak
dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata
datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan
salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah
menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan
Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan
kepada orang ramai.
Kita akan terus
berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya
upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup
mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita
ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami
;
Al-Quran itu
perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah
ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Wahai angkatan pemuda
!
Sesungguhnya Allah
telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan
iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah
meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang
ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang
dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ
أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah sebaik-baik
umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat
kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman
(Al-Baqarah : 143):
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ
أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Demikianlah pula Kami
jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang
pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan
diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa
kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat
kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai
guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang
lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian,
kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
Oleh itu, wahai
angkatan pemuda!
Hendaklah kamu
menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah
iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan
yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak,
kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh
para mukminin.
Seluruh dunia berada
di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini
telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini
melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah
untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang
bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan
berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah
yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh
alam.
Wahai angkatan pemuda
!
Ada pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam
memanglah mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan
rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang
benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu bagaiman
wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada kehendak kita itu.
(1) Mula-mula sekali
kita mahu diwujudkan individu muslim; iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya,
muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala
tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.
(2) Selepas itu kita
mahu diwujudkan rumahtangga muslim, iaitu rumahtangga yang bersifat muslim
dalam fikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta
perasaannya, muslim dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai
matlamat ini kita memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan
pemuda. Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.
(3) Selepas itu kita
mahu diwujudkan umat Islamiyah, iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut
yang tersebut tadi. Bagi mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah
kita sampai ke setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran
hingga ke setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk
keseluruh dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita
tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan
mana-mana wasilah yang mampu kita
lakukan.
(4) Selepas itu kita
mahu diwujudkan kerajaan Islam. Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke
masjid, yang boleh mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana
didorongkan para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar.
Untuk mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan
kerajaan yang tidak bertapak di atas asas
Islam dan tidak mengambil ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah).
Kita tidak dapat mengakui parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak
dapat menerima segala bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada
kita oleh orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan
undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak untuk
menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya sehinggalah
terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita ini.
(5) Selepas itu kita
mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita, tanahair yang
telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang dihapuskan perpaduannya oleh
sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri Eropah. Bagi mencapai tujuan ini
kita tidak dapat menyetujui segala pembahagian sempadan dan negara yang
dilakukan dengan tujuan politik seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak
menerima segala perjanjian antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam
dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan
supaya mudah ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu
terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan segala
bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi, Yaman, Libya,
Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal bumi yang di dalamnya
terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha illa Allah, semuanya itu adalah
merupakan tanahair Islam yang terbesar. Kita terus menerus berusaha demi untuk
memerdekakannya dan menyelamatkan serta melepaskannya dari cengkaman luar dan
akhirnya mencantumkannya semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.
Jika sekiranya
seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja
orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah Islam pula mewajibkan setiap
orang muslim sebagai pembela kepada setiap insan yang meresap masuk ke dalam
dirinya ajaran kitab Qur’an. Menurut istilah Islam, faktor-faktor
keturunan darah-daging tidak boleh dianggap lebih kuat hubungannya dari faktor
iman kepada Allah. Dalam persoalan ini aqidah Islam itu yang merupakan segala
sesuatu kerana iman itulah yang membezakan di antara kasih sayang dengan
kebencian.
(6) Selepas ini kita
mahu pula panji-panji Allah itu kembali berkibaran di angkasa segala pelusuk
dunia yang pada suatu masa dulu pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah
fikrah Islam, iaitu negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan
ucapan takbir dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri
tersebut menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah
beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia dll)
dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat Islam yang
mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan Laut Merah
sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan seperti sediakala.
Jika sekiranya
Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua) berpendapat bahawa beliau
berhak mengambil empayar Rom yang telah diwujudkan di atas asas kehalobaan dan
hawa nafsu, maka kita pula berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan
keagungan empayar Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan
keinsafan dengan tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat
manusia.
(7) Selepas itu, di
samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahu mencanangkan seruan
dakwah kita kepada seluruh dunia dan kita mahu menyampaikannya kepada sekalian
umat manusia sehingga meresap keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah
setiap makhluk yang angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku
fitnah dan kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu
bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti menolong
sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi Maha Penyayang.
Perlu di sebut bahawa
setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya, pecahan
serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita memadai dengan
serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan perincian. Allah jualah
tempat kita memohon pertolongan dan memadailah Dia sebagai tumpuan kita dan
sebaik-baik pengawal.
Biarlah orang-orang
yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita ini "hanya suatu
angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang menawan hati manusia.
Sebenarnya itulah yang
dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan tidak juga diajar
oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn atau sifat pengecut yang
dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu mendedahkannya kepada musuh-musuh,
dan itulah yang dikatakan kemusnahan hati sanubari serta kekosongannya dari
iman dan inilah yang merupakan sebab
kejatuhan umat Islam.
Namun demikian, kita
tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawa sesiapa orang
muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini dan tidak
bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung mempunyai saham kepada
Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan
ideologi tersebut.
Wahai angkatan pemuda,
Sebenarnya kamu
sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari
kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu
janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di
ruang matahati kamu akan firman Allah (Al-Imran:173):
الَّذِينَ قَالَ لَهُمْ
النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ
إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Mereka berkata
kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap
kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi
bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan
Dialah sebaik-baik pengawal.
Kita akan mendidik
diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan
individu muslim. Kita juga akan mengasuh
rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan
sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya
terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut
serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut
langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan
sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang
kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan tiba di
matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan
citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.
Bagi menghadapi
persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan
bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur
kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai
sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para
syuhada' di jalan Allah.
Jadikan itu semua
sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian
tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik
bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya
dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan
seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada
hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu
tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:
musuh kepada Islam
atau pun jahil mengenai hakikat Islam.
Wahai angkatan pemuda
!
Silaplah orang-orang
yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok
Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya
tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan
Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang
sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi
mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair
dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan
undang-undang serta toleransi dan kekuatan.
Mereka yakin bahawa
Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang
kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke
akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai
kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam
bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur’an dan pedang.
Namun demikian mereka
tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas
menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya
upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah
serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam
batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan
melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula
terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda
Rasulullah s.a.w yang bererti:
ان هذا الدين متين فأوغل فيه
برفق إن المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى
Sesungguhnya ugama
Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan.
Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang
dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.
Meskipun demikian
namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira
kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah:
(surah Al - A’raf : 32)
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ
اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ
Katakanlah: siapakah
pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya
dan juga rezeki yang baik-baik itu ?
Angkatan Islam
mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah
s.a.w ialah:
رهبان فى الليل
وفرسان فى النهار
Ertinya :
Pendeta di malam hari
dan satria yang gagah perkasa di siang hari.
Demikianlah pula
angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka - Allah jualah tempat kita
memohon pertolongan.
Silaplah juga mereka
yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.
Sebenarnya orang-orang
Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka. Merekalah yang paling
banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati
sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara
sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi
mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.
Tetapi perbezaan di
antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair
ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam
yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada
jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri
Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula
membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka
merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.
Adapun pencinta
tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada
bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan,
sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang
tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada
hamba-hambanya.
Memadailah untuk
saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah
mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun
dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak
boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka
mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak
akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.
Silaplah lagi
orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke
arah kemalasan atau keculasan. Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban
waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap
perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan
berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang
ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.
Perlu disebut bahawa
apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan
kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.
Meski pun demikian
kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat
manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri
sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula
jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan
demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang
lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu
walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:
من لم يهتم بأمر المسلمين
فليس منهم
Sesiapa yang tidak
menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.
Rasulullah saw juga
bersabda yang bermaksud:
إن الله كتب الإحسان على كل
شئ
Allah mewajibkan
kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.
Silap juga orang-orang
yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah
sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa
Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti
mana yang tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):
يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا
خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا
Wahai sekalian
manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan
Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal -
kenalan.
Kita mengetahui bahawa
Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu
rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa
adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan
hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan
firman Allah (Al- Baqarah:285):
لا نفرق بين أحد من رسله
Kami tidaklah
membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.
Perlu disebut bahawa
Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan
dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman (Al-Maidah: 8):
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ
شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Dan janganlah kamu
dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil
kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.
Dan Islam menganjurkan
kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka
itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman (Al-Mumtahanah:8):
لَا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ
الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ
دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
Allah tidaklah menegah
kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.
Islam juga
menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di
dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :
لهم ما لنا وعليهم ما
علينا
Ertinya:
Mereka mendapat hak
sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.
Kita mengetahui
semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga
ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual
iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk
tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita.
Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga
mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia
mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.
Oleh itu, barang siapa
cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya
dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala
kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.
Suatu kesilapan juga
orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan
yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan.
Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka
sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya
di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh
Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana
sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada
sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau
badan atau pun mana-mana kumpulan.
Wahai angkatan pemuda
!
Di atas dasar-dasar
yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda
sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak
langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari
sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka
itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat.
Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya
melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.
Dengan itu, setiap
pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati
balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia
benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.
Akan tetapi
sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak,
atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah
ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara
tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman
Allah (Al-Imran:126):
وما النصر الا من عند
الله العزيز الحكيم
Kemenangan itu
hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.
RINGKASAN ISI - WAHAI PEMUDA !
Pemuda adalah harapan semua ummat untuk
mengembalikan ummat. Perlukan:
·
fikir tentang ummat lebih banyak dari
fikir diri sendiri.
·
faham dakwah yang betul
Dakwah
kurun ke 15 Hijrah.
·
Hanya satu dakwah yang boleh menyelamat
manusia - ISLAM (5:3) manusia sedang menunggu-nunggu.
·
Ianya perlukan pengorbanan (Kesah
Seerah Nabi dan Sahabat)
·
Fikrah Islam hendaklah tulin (tanpa
seleweng , tambah atau kurang). (3:85) Musuh telah cuba merosakkan Islam
beberapa lama.
Tugas
kita:
·
Menceritakan hakikat Islam dengan
jelas(teori).
·
Mengajak beramal dengan Islam yang
syumul (amali).
·
Menjadikan Al-Quran & Sunnah
rujukan utama.
·
Berjuang terus hingga mati.
·
Slogan kita : ‘Allah matlamat - Rasul
Ikutan - Quran perlembagaan - Jihad jalan & Mati syahid cita-cita
tertinggi’.
·
Berkeyakinan diri ; kita adalah 'tuan'
di bumi ini. Kemenangan adalah milik kita.
·
Titik kekuatan:
·
Iman
·
Ukhuwwah
·
Zahir (Tubuh badan, senjata, peralatan,
pengurusan dsb)
·
Program kita:
·
Individu Muslim
·
Rumahtangga Muslim
·
Ummat Islam
·
Kerajaan Islam
·
Watan Islam (Tanahair)
·
Menawan balik negeri Islam yang
dirampas.
·
Menjadi pemerintah dunia.
Lain-lain
·
Disangka angan-angan oleh manusia.
Siapa tidak bekerja kearah ini maka sila cari cara lain.
·
Kita bukan lemah (3:173)
·
Kita tidak akan memisahkan agama dan negara,
solat dan masyarakat dll.
·
Islam adalah sistem yang sempurna.
·
Mengapa orang sangat memperelokkan
solat tetapi melalaikan bidang Islam yang lain?
·
Orang Islam ialah: Pendita dimalam hari
dan satria disiangnya.
·
Kita tidak mengabaikan negara dan
bangsa kita tapi semua kerana Iman.
·
Kebangsaan kita adalah semua negara
Islam.
·
Kita hendaklah maju dalam semua perkara
kerana kemunduran akan merosakkan kita.
·
Hendaklah melepaskan dari sebarang
fahaman lain selain Islam.
·
Hendaklah menguntukkan seluruh tenaga
dan masa untuk Akidah ini.
·
Kita akan capai antara 2 kebaikan:
Menang atau Syahid.
·
Siapa yang masih teragak-teragak dan
berdolak dalih, Tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira
sedikit atau ramai (3:126)
Selasa, 6 Disember 2011
WANITA DAN LELAKI BAIK UNTUK SIAPA
Bismillahirrahmanirrahim.....
Ramai di antara kita tahu tentang sebuah firman Allah yang menyatakan bahawa wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah ini boleh ditemui dalam surah an-Nur ayat 26 yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..”

Dengan ini ramai di antara kita menggunakan ayat ini untuk menyatakan tentang hal-hal berkaitan jodoh. Tetapi ada sesetengah di antara kita kurang jelas dengan maksud ayat ini kerana pada pandangan mereka, ramai pasangan yang mereka temui tidak selalunya demikian. Ada lelaki yang baik tetapi berkahwin dengan perempuan yang derhaka. Ada juga perempuan yang baik tetapi si suami begitu zalim.
Untuk menjelas hal ini kita perlu memahami maksud sebenar ayat di atas. Ayat itu perlu dibaca sampai habis. Kita perlu tahu bahawa ayat di atas sebenarnya diturunkan bersempena peristiwa ‘Al-Ifki’, iaitu ketika Sayyidatina Aisyah r.a difitnah oleh puak-puak munafik di Madinah bahawa beliau telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu’attol.
Allah s.w.t. mempertahankan kesucian Aisyah r.a. dengan menegaskan bahawa jika benar-benar Aisyah itu jahat, beliau tidak akan didampingi orang yang baik-baik seperti Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Bahkan Rasulullah amat menyayaingi Aisyah.
Pengajaran yang kita dapat ambil dari ayat ini adalah hubungan baik seseorang itu bergantung kepada sikapnya sendiri. Jika dia seorang yang baik, mustahil dia akan bergaul dengan orang yang jahat dan begitulah sebaliknya. Seperti juga hubungan suami isteri. Wanita yang baik tidak akan bersama dengan suami yang jahat. Seandainya mereka telah dijodohkan bersama, mereka tetap tidak akan dapat bersatu. Sebab itu dalam Islam sendiri perceraian adalah perkara yang halal. Bukan haram. Meskipun begitu, ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah.
Ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengambil jalan terakhir untuk bercerai, tetapi seandainya kita boleh berusaha mengubah pasangan menjadi lebih baik, bersabar dan bertawakkal kepada Allah, maka hendaklah kita berusaha terlebih dahulu. Namun jika tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana sifat isteri yang sering derhaka atau suami yang terlalu zalim, maka bercerai adalah langkah yang jauh lebih baik dari membiarkan diri terseksa dan rumah tangga yang dipenuhi kemurkaan. Kerana tidak mungkin seorang yang baik itu akan bersama dengan seorang yang jahat. Inilah maksud yang kita perlu fahami.
Selain itu kita juga perlu jelas bahawa orang yang baik-baik jarang sekali mengaku dirinya baik. Memang kita semua akui bahawa kita mahu mencari yang terbaik sebagai pasangan hidup kita. Namun sekiranya kita adalah seorang yang berilmu, kita tidak seharusnya memandang hina pada orang yang kurang bernasib baik seperti kita. Jika kita manusia yang alim, maka membimbing dan mentarbiah pasangan adalah tanggungjawab kita.
Saya hairan dengan sesetengah sikap manusia yang merasakan dirinya baik, punyai keluarga yang beragama tetapi memandang hina insan lain. Bagi mereka orang-orang yang tidak berlatarbelakang agama dan hidup dengan penuh sosial itu begitu hina dan tidak layak untuk mendampingi mereka. Perkara ini benar jika orang-orang itu tidak mahu berubah ke arah kebaikan dan ingin mengheret kita ke jalan maksiat. Tetapi tidak jika mereka mahu berubah, mereka ingin belajar tentang Islam dan ingin kembali kepada Allah. Mereka perlu diberi peluang untuk bersama kita menghayati keindahan Islam.
Namun sikap sesetengah manusia yang merasakan dirinya alim ini begitu mementingkan diri sendiri. Mereka mengabaikan manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Ada yang menjauhkan diri dari mereka, malah tidak kurang juga yang menghina. Tidak hairanlah diakhirat esok terdapat 3 golonganyang apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka, ahli neraka sendiri akan merasa hairan. Kerana 3 golongan ini kelihatan begitu alim sewaktu hidupnya tetapi siapa tahu, hatinya kotor!
Untuk mendapatkan yang terbaik, biarlah kita sendiri yang mengubah sikap menjadi yang terbaik. Sesiapa sahaja yang kita dampingi, samada baik atau jahat, kita mungkin tidak akan tahu. Elakkan diri dari memilih orang yang tidak sepatutnya namun elakkan juga dari bersangka buruk dan menghina orang lain. Kita diberikan akal untuk berfikir, maka buatlah pilihan yang baik.
Harus diingat, wanita semulia Asiah sendiri dijodohkan dengan Firaun yang begitu zalim. Seandainya kita ini sebaik dan semulia Asiah, kita juga masih belum layak untuk mengakui bahawa kita hanya layak menerima pasangan yang baik. Namun sebagai hamba yang disayangi-Nya, Allah tidak akan sesekali menzalimi kita.
Sebaik atau sejahat manapun pasangan yang kita terima setakat ini, itulah yang terbaik buat kita. Allah tidak pernah salah dalam aturannya. Namun untuk mencari yang lebih baik, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam ajarannya. Kita hanya perlu belajar dan mula mengamalkannya.
Langgan:
Catatan (Atom)