Rabu, 16 November 2011

CINTAILAH IBU ANDA SELAGI DIA MASIH ADA


Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?”
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?”
Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.”
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.”
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
“Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” ”
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.”
“Ayah, ayah….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
Berapa kerapkah kita menelefon ibu kita?
Sementara ibu kita masih ada…
Luahkan perasaan cinta kita nih…
I love you, mommy/daddy…
Saya sayang Ibu/Ayah…
Jangan malu cakap mcm itu kepada ibu dan bapa kita..
cakap kepada boyfriend/girlfriend bisa.. ibu?? ayah??
kepada yang sudah kehilangan ibu/ayah.. sedekahkanlah al-fatihah..

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.

BERBALOIKAH KAHWIN AWAL BAGI PELAJAR


Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)
Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.
1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?
Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?
2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.
Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)
3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?
Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.
Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)
4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?
Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.
Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?
Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.
6. Macam mana dengan restu ibu bapa?
Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.
Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)
Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim).

BOLEHKAH MAHASISWA BERPOLITIK?



Saifuddin memegang resolusi yang diterima pada konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA di Bangi kelmarin.

BANGI Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (MPP IPTA) 2010 semalam membuat resolusi menyokong pembabitan mahasiswa IPTA dalam parti-parti politik.
Pengerusi Jemaah Yang Dipertua MPP IPTA Malaysia, Ahmad Wafi Sahirdan, 20, berkata, resolusi itu dicapai apabila 191 daripada 335 anggota MPP pelbagai IPTA yang hadir pada konvensyen itu menyokong dasar tersebut.
Hanya 128 wakil MPP tidak bersetuju dan selebihnya kurang pasti. Maka kami mengikut keputusan majoriti wakil MPP IPTA seluruh Malaysia yang meminta kerajaan membenarkan pelajar daripada IPTA menyertai politik, katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Konvensyen MPP IPTA 2010 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di sini semalam.
kredit : kosmo.com.my

GAMIS SOKONG HAK ROYALTI KELANTAN

Kuala Lumpur, 16 Nov : Tidak ada sebab kenapa rakyat Kelantan dinafikan hak mereka untuk menerima wang saku hasil dari bumi mereka, kata Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan.
“Gamis yakin anak muda dan mahasiswa pada hari ini celik dan sedar apa yang berlaku seolah orang yang membajak tanah rumah kita untuk pertanian namun yang mendapat hasil dan tuaian ialah rumah jiran sebelah,” katanya dipetik Harakahdaily.
Katanya, isu royalti minyak adalah suatu tuntutan asasi dan perjuangan hak rakyat Kelantan.
RM262 juta dinikmati rakyat Kelantan

Tambahnya, terbaru ialah penemuan Telaga Surya dan Telaga Bumi dari Blok PM 301, North Malay Basin yang mengeluarkan 60,000 tong sehari atau 21.6 juta tong setahun.
Katanya, pendapatan keseluruhan dua telaga ini adalah sebanyak RM5.24 billion setahun mengikut harga pasaran minyak mentah dunia dengan andaian harga minima USD80.00.
“Sekiranya 5% royalti diberikan, ini bermaksud RM262 juta setahun dapat dinikmati oleh rakyat Kelantan,” katanya.
Menurutnya yang juga anak jati Kelantan, projek pembinaan lebuhraya yang sangat ditunggu-tunggu dan menjadi keperluan rakyat boleh dilaksanakan segera jika wang royalti itu diberikan.
Hal ini, ujarnya termasuk juga bantuan rakyat termiskin dan program pembangunan lain dapat dilaksanakan.
Lebih menyedihkan, tambahnya ialah apabila ada nyawa yang terkorban dalam usaha menuntut royalti rakyat Kelantan ini.
Maut tuntut royalti

Ini ekoran bekas Presiden Gamis dan aktivis masyarakat, iaitu Allahyarham Saudara Kamarulzaman Abdullah yang terlibat dalam kemalangan maut setelah pulang dari menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat minggu lalu.
“Kami mendesak agar pihak kerajaan pusat menilai dan pertimbangkan hak rakyat Kelantan ini tanpa sempadan politik dan mengutamakan keperluan rakyat daripada parti yang memerintah.
“Jika Perdana Menteri dapat tunaikan hasrat rakyat Kelantan ini, baru kami rasa slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’  boleh digunapakai dalam pentadbiran kerana situasi sekarang ialah ‘rakyat dipinggirkan, pencapaian politik diutamakan’ akibat kepentingan yang ada,” katanya.

AUKU BOLEH MANFAATKAN MAHASISWA





Prof Datuk Dr Zaini Ujang,

Naib Canselor UTM

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2009) (AUKU 2009) memberi ruang dan peluang kepada komuniti akademik, termasuk mahasiswa untuk menjadi ‘kuasa intelektual’ yang ampuh dan berdaya saing bukan saja di pentas tempatan, malah peringkat global.
Tidak ramai yang cuba memahami bahawa dalam proses penyediaan draf AUKU 2009, sebelum dibawa ke Parlimen, melibatkan pelbagai lapisan serta pandangan masyarakat, termasuklah golongan mahasiswa dan pensyarah pelbagai peringkat. Hasratnya ialah menyediakan landasan kukuh menjadikan institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing, mampu menyediakan ekosistem intelektual yang segar, ruang autonomi bersesuaian dengan tanggungjawab menyediakan kualiti pendidikan terbaik dan menyuburkan kemahiran insaniah.
AUKU 2009 adalah suatu peruntukan undang-undang menyeluruh menjelaskan tentang tanggungjawab dan kuasa menteri, penubuhan serta perlembagaan universiti, peruntukan serta bantuan wang dan akaun, penubuhan dan pengambilan tanah untuk universiti, kaedah-kaedah tata tertib sehinggalah tata cara penganugerahan ijazah dan majlis konvokesyen. 
Dari segi kelainannya berbanding AUKU sebelum pindaan 2009, urus tadbir lebih telus dan berkesan dengan kuasa lebih besar diberikan kepada Lembaga Pengarah. Ini memberi ruang untuk berlakunya penurunan kuasa Menteri sehingga dijangkakan menjelang 2015, autonomi penuh akan dimiliki oleh beberapa universiti awam yang sudah bersedia daripada pelbagai sudut termasuk penjanaan dana dan pengurusan modal insan.
AUKU selepas pindaan 2009 juga memberi peluang kepada komuniti akademik, termasuklah mahasiswa untuk lebih kreatif dan inovatif bagi menjalankan pelbagai kegiatan untuk menyediakan diri menjadi ‘pekerja ilmu’ dalam persekitaran ekonomi dunia yang semakin pantas berubah dari segi corak pekerjaan dan penjanaan kekayaan.
Selain itu, AUKU 2009 memberi mandat agar komuniti akademik mempunyai wibawa sendiri dalam pembangunan negara. Perkhidmatan universiti sebagai ahli akademik diberi pengiktirafan tinggi, sementara aktivisme mahasiswa dilindungi daripada pengaruh luar yang boleh menjejaskan peranan mereka sebagai ‘komuniti ilmu’.
Itulah sebabnya Bahagian III (Seksyen 15) diperkenalkan iaitu berkaitan ‘pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar bersekutu dengan persatuan, dsb.’
Satu-satunya peruntukan yang menjadi pertikaian dan sering kali disalah anggap ialah Seksyen 15 (1) (a) yang melarang mahasiswa menjadi ahli ‘mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia’.
Mengapa larangan ini diperkenalkan?
Larangan ini diperkenalkan supaya komuniti akademik terutama mahasiswa dapat mencorakkan wibawa dan identiti sendiri. Peruntukan tersebut adalah isyarat bahawa mahasiswa perlu bangun dan bergerak sendiri secara penuh keyakinan diri, tanpa didominasi, ditunjuk arah, apatah lagi terikut-ikut dengan budaya dan peraturan politik kepartian semasa berada di universiti.
Sebagai Naib Canselor, saya mengharapkan peruntukan AUKU 2009 boleh menjadikan komuniti akademik, termasuk mahasiswa sebagai golongan yang menjadi alternatif kepada tata cara, pendapat dan idealisme politik kepartian. Saya mengharapkan mahasiswa mempunyai jati diri sendiri, idea yang diadun sendiri dan berani membangunkan falsafah politik yang tidak terikat kepada percaturan politik luar kampus.
Idealnya, politik mahasiswa adalah politik yang didokong oleh dapatan ilmu dan perkongsian bersama sarjana dan warga kampus yang sentiasa menghayati resam ilmu dengan melakukan kajian dalam pelbagai dimensi ilmu. Atas kepentingan pengembangan ilmu menerusi penyelidikan mereka bebas melakukan gerak kerja dan aktiviti ilmiah termasuklah berkaitan aspek politik, termasuk membabitkan parti politik.
Kuasa mahasiswa ialah kuasa ilmu kerana mereka berada di persada ilmu, di kalangan komuniti yang mendaulatkan budaya ilmu. Pengaruh mahasiswa ialah pengaruh ilmu kerana mereka adalah pencinta ilmu. Kualiti pergerakan mahasiswa ialah kualiti ilmu kerana dengan ilmu mereka boleh membuat pilihan dan penilaian yang lebih adil dan saksama.
Justeru tanpa terikat kepada mana-mana parti politik maka membolehkan mahasiswa lebih mudah memaju diri dan organisasi menggunakan neraca ilmu untuk membuat pertimbangan yang lebih bijaksana. Memang suara dan idealisme politik kepartian adalah suatu realiti dan mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri.
Maka mahasiswa boleh menjemput mana-mana kelompok politik, dengan persetujuan pihak universiti, untuk berbincang dan berbahas tentang pelbagai isu semasa. Mahasiswa boleh bersetuju dan membantah pendirian politik mana-mana parti politik. Sementara itu, mahasiswa juga perlu mempelajari idealisme politik tetapi dari sudut pengkayaan ilmu, bukan kaderisasi politik.
Dengan demikian, ketika berada di kampus, tanpa terikat kepada mana-mana idealisme atau syarat keahlian politik kepartian maka mahasiswa mempunyai ruang dan kesempatan untuk membina idealisme sendiri. Memang sepatutnya semua warga kampus termasuklah mahasiswa perlu berada di hadapan, bukan menjadi pengikut dari segi pengembangan idea, pemahaman terhadap persekitaran global dan setempat, dan menyediakan alternatif.
Malang sekali seandainya pergerakan mahasiswa terpesona dengan suara dan gagasan politik kepartian, apatah lagi jika sekadar menjadi pengikut setara dengan status keahlian peringkat cawangan.
Lebih malang lagi kerana sebagai ahli sesuatu pertubuhan politik, banyak peraturan dan tata cara yang terpaksa dipatuhi. Ini lebih ketara jika ada perbezaan pandangan mahasiswa dengan pandangan rasmi parti yang mungkin menyebabkan seseorang ahli dikenakan tindakan disiplin.
Justeru marilah kita menghayati semangat dan budaya ilmu bahawa sepanjang menuntut ilmu terutamanya di kampus maka kita perlu mematuhi pelbagai adab dan resam untuk menjadi komuniti ilmu yang sejati. Komuniti ilmu tidak bererti kita meletakkan diri pada kedudukan luar realiti.
Sebaliknya komuniti ilmu menjadikan ilmu sebagai petunjuk, pedoman dan landasan dalam tindakan kita.
Kerana dengan komitmen kepada budaya ilmu barulah kita dapat memperteguh wibawa dan membangunkan ‘kuasa intelektual’ sebagai penyuluh zaman!

Selasa, 15 November 2011

MARUAH UNIVERSITI KITA SEMAKIN TERCEMAR







Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia

1. Negara kita sekali lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap. Terbaru pelanggaran “demokrasi ilmu” yang sungguh sadis, apabila Prof. Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh University Islam Antarabangsa [UIA] hanya kerana pengaruh kontraversi yang dicetus oleh media.
2. Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau. Sungguhpun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti Sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataan beliau masih dalam disiplin ilmu
3. Disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding “disiplin ampu”. Ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut masih terbuka kepada perbahasan cendikiawan.
4. Kaedah umum “persilatan ilmu” di mana – mana universiti dalam dunia ini ialah “hujjah lawan hujjah” atau “fakta lawan fakta” bukan “hujjah lawan maki hamun” dan “fakta lawan gantung tugas”.  Malang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan gantung tugas Prof Dr. Aziz Bari. Patutlah universiti Malaysia belum ada yang tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia.
5. Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti AUKU, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa.
6. Kami mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini. Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti diperingkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan.

ISU PPSMI ADALAH SATU KELEMAHAN KERAJAAN


Teras-teras jati diri kebangsaan Malaysia berpaksi kepada bahasa Melayu dan agama Islam(tanpa menafikan hak serta kepentingan bahasa dan kepercayaan lain).
azlanDi dalam Perlembagaan Persekutuan, antara perkara yang disebut ialah Perkara 32(1) yang memaktubkan  kedudukan raja-raja Melayu;  Perkara 152(1) tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi; dan Perkara 3(10) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan.
Berhubung perkara yang menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, mereka yang berjiwa Melayu dan rakyat Malaysia yang terbuka minda untuk bergerak ke hadapan bersama-sama jati diri kebangsaannya, pastilah ingin melihat bahasa kebangsaan itu diperkasakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, termasuk sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
Golongan yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu tinggi, lebih disebabkan kelemahan mereka menguasai bahasa Melayu, bukan kerana kelemahan bahasa Melayu. Dan semua pejuang bahasa kebangsaan bukanlah golongan fanatik, berpandangan jumud atau berusaha mengundurkan bangsanya ke belakang.
asia euro cultural minister meeting pak lah 220408 wayang kulitPejuang-pejuang  bahasa selalu memetik kebijakan Hang Tuah yang menguasai 12 bahasa, sebagai suatu unjuran profetik ‘pujangga penulis’ karya agung itu  bahawa setiap bangsa akan menjadi lebih maju jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Akan tetapi walaupun menguasai pelbagai bahasa, setiap bangsa harus meletakkan bahasa kebangsaannya dimercunya yang tinggi, atau seperti sepotong puisi Sasterawan Negara Usman Awang, “manakan sama bahasa bunda.”
Jika menurut tiga kriteria yang dikenalpasti oleh Charles Ferguson, sesungguhnya bahasa Melayu sudah dianggap sebagai ‘bahasa maju.’
Tiga kriteria Charles Ferguson itu ialah (a) Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan. Dalam hubungan ini bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya sendiri – sama ada dalam jawi atau pun rumi; (b) Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu.   Bahasa Melayu jelas mengatasi segala dialek, kerana di Malaysia dialek tidak mempunyai penerbitan bakunya; dan (c) Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan ilmu dan pemikiran moden.
Ini jelas terbukti dengan penerbitan pelbagai buku  dalam bidang dan subbidang ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu, sejak kurun ke-12 Masihi lagi, dan memasuki era ‘moden’nya sejak sebelum merdeka lagi hingga memuncak mutakhir ini.
azlanTradisi ilmu dalam bahasa Melayu telah berkembang, termasuk di IPTA, umpamanya di UKM sejak awal tahun 1970-an. Tokoh ilmuwan Selangor 2011, Dr Shahril Mohamad Zain (mantan profesor fizik dan matematik di UKM) pernah membentangkan fakta bahawa UKM telah menghasilkan lebih 450 tesis Ph.D dan lebih 2,000 tesis Sarjana (MA & M.Sc.) dalam bidang sains dan pelbagai bidang lain, yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantar untuk pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden di IPT, dan memanfaatkan penguasaan bahasa asing sebagai pelengkap sebagaimana saranan profetik Hang Tuah.
Tamadun Melayu boleh diperkasakan jika terdapat ilmu-ilmu pengetahuan moden (termasuk sains & matematik) disampaikan dan ditulis dalam bahasa ini (Melayu).
muhyiddin yassin and education ppsmiSehubungan itu pelbagai pihak berasa terperanjat apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran membayangkan pendirian kerajaan untuk membenarkan sekolah membuat pilihan sama ada meneruskan dasar PPSMI atau sebaliknya.
Pendirian tersebut amat berbeza semangatnya daripada pengumuman yang beliau lakukan tahun lepas, untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012.  
Sesuatu dasar kerajaan (termasuk untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012, empat bulan dari sekarang) mestilah bersifat merata dan menyeluruh. Tidak boleh mana-mana kumpulan kecil dan serpihan untuk menebuk dasar itu di mana-mana, lalu menghidupkan dasar PPSMI semula.
ppsmi march 070309 crowd.jpgJika kumpulan kecil dan serpihan itu mewakili elit di bandar dan kota, yang kaya raya, maka mereka boleh menghantar putera puteri mereka ke  sekolah swasta atau sekolah antarabangsa, dan jangan dibiarkan menebuk dasar pemansuhan PPSMI mulai 2012 menurut selera mereka.
Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran pastilah telah menerima “Kajian Tahap Kompetensi Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” (2008, setebal 186 halaman tidak termasuk tiga lampiran) oleh Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA).
Kajian ini dengan jelas menunjukkan kompetensi guru yang boleh dipersoalkan, yang mengakibatkan kelemahan pembangunan modal insan murid khususnya di luar bandar, Felda dan sebagainya.
anti ppsmi rally 070209 chinese educationalistPrinsip ketamadunan kerajaan harus berpegang kepada kajian yang berwibawa, menyeluruh dan mendalam seperti dilakukan PEMBINA.
Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada ‘cadangan’ pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI.
Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara  untuk menewaskan zombie!



Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian kedua daripada siri artikel pendek bertemakan'Masyarakat Bertamadun"yang akan diterbitkan setiap dua minggu.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi dalam blog majmuah ini....

BERTUNANG VS COUPLE...

Isu psl couple bagi kita sudah rasa mual, Pelbagai Hujah dan hukum telah dinyatakan oleh ulama' kontemporari zaman sekarang, Tetapi yang sedihnya, masyarakat kita adalah tergolong dikalangan org yang TULI&PEKAK...OOps...Sorry Terover, Pelbagai masalah berpunca dgn nafsu GILER masyarakat kita....


Baru2 ni timbul isu psl isu bertunang yang melebihi kejahatn couple....Inilah antara permasalahan yg melanda masyarakat umum nowadays...kalau kita tengok dari prinsip islam dan kita ikut sebenar2nya...insyallah perkara spt ini x akan jd...jgn kata kita x tergolong...sama2 lah pk...


Sebenarnya masyarakat kita sudah jauh lari dari kebenaran....Golongan muda yang masih cetek agamanya mula menimbulkan persoalan....kita sbg mahasiswa perlu mengkaji masalah ini sebaik mungkin...mungkin ini adalah salah faham masyarakat kita...


Kenapa couple itu haram sedangkan bertunang itu x haram ......???




Ada sesiapa pernah terbaca buku, majalah atau website islamic pasal isu ni?

Ya, anda berkata.


"Masa tengah couple, pengang tangan. Pengan tangan itu haram."
"Masa tengah couple, kadang-kadang, terfikir benda-benda yang tak senonoh. So ianya adalah zina hati. Which is haram."
"Masa tengah couple, buat seks. Haram."
"Masa tengah couple, keluar berdua-duaan. Haram"
"Masa tengah couple, bergayut hingga ke malam. Haram""Masa tengah couple, peluk-peluk. Haram."

Ya, yang di atas adalah apa yang di sebut tentang couple. Tapi bagaimana dengan bertunang?


Masa dah bertunang, pegang tangan. Tak ke haram?
Masa dah bertunang, terfikir nak buat seks dengan tunang. Siap nak terfikir macam mana nak test malam pertama lagi. Tak ke haram?
Masa dah bertunang, start buat seks dengan alasan "Alaa, nanti kita kahwin jugak kan? So tak salah kalau kita cepatkan malam pertama". Tak ke haram?
Masa dah bertunang, peluk-peluk. Tak ke haram?
Masa dah bertunang, bergayut sampai ke pagi. Tak ke haram?
Masa dah bertunang, keluar berdua-duaan hingga lewat malam sebab dah dapat title 'tunang'. Tak ke haram?

So, kenapa bertunang tu tak haram bila dah peluk, buat seks, kiss-kiss dan etc, tetapi bercouple adalah haram bila peluk-peluk, buat seks, kiss-kiss dan ect? "Korang mark bercouple sebagai haram bila peluk-peluk etc. Tapi korang tak mark bertunang (style zaman sekarang) sebagai haram bila peluk-peluk etc?" This is what i wanna to tell you but tak ramai yang faham.

Lagi pun, bukan ke kalau bertunang tu makin menhampiri zina? Ye lah. Mak tanya, "Nak pergi mana tu?" Then korang jawab. "Nak keluar makan-makan dengan tunang.". Then si emak pun tersenyum bahagia. Iye lah. Keluar dengan tunang, confirm-confirm keluar berdua. Balik lemat malam tak apa. Sebab dah ada 'ikatan'. Kalau diikutkan, dalam bertunang, memang lagi menghampiri zina berbanding couple.


Berpandukan tulisan di atas, aku nak tanya satu soalan. Kalau anda pernah terbaca pasal isu ni di majalah, buku atau dengar dari ustaz dan tahu jawapannya, sila lah tulis di ruangan comment atau email je kat aku. Dan, kalau korang nak maki-maki pun, aku tak kisah, tapi silalah kasi hujah dan bukan pedapat kosong.

So pretty boys dan handsome girls sekalian. Soalannya;

Bertunang (Style zaman sekarang) adalah lebih menghampiri zina berbanding couple. Tapi kenapa bertunang (style zaman sekarang) tidak tergolong dalam golongan haram kerana menghampiri zina?

Anyone?

Think ;)











I

RASULULLAH KAMILAH UMATMU...


Ini hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi.
Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.
Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.
Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat .
Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.
Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.
Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?

Rabu, 2 November 2011

SEKSYEN 15{5} TIDAK SAH


Mahkamah Rayuan: Seksyen 15(5) AUKU tidak sah
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

ukm 4 challenge auku uuca 280910 bannersKeputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel itu, bagaimanapun berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.
Pelajar-pelajar terbabit, semuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King Chaì (exco).
Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.